BERITA TERKINI & SEMASA
PUTRAJAYA, 10 Oktober 2024 - Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Mohamad Azuwan bin Harun, melakukan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri TKPj Norazlan bin Mohd Razali, di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Pertemuan ini bertujuan untuk mempererat hubungan kerjasama antara ATM dan SPRM dalam usaha membanteras rasuah serta meningkatkan integriti dalam kalangan anggota tentera dan kakitangan awam.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam mencegah dan menangani kes rasuah, terutamanya yang melibatkan sektor keselamatan dan pertahanan negara. Kunjungan ini juga menunjukkan komitmen ATM untuk bersama-sama dengan SPRM dalam memerangi segala bentuk penyelewengan dan salah laku, serta memastikan kelancaran pentadbiran pertahanan negara yang bebas daripada sebarang bentuk rasuah.