KUALA LUMPUR, 3 Disember 2024 - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini mencipta sejarah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor baharu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Majlis pemasyhuran yang penuh istiadat ini berlangsung bersempena dengan Konvokesyen Ke-14 UPNM, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Acara berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Tuanku Pro-Canselor Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman, bersama Menteri Pertahanan YB Datoโ Seri Mohamed Khaled Nordin, Pro-Canselor UPNM, Laksamana Tan Sri Dato' Setia (Dr) Mohd Anwar bin Haji Mohd Nor (Bersara) serta Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki bin Muhammad. Kehadiran pemimpin-pemimpin utama ini melambangkan sokongan padu terhadap komitmen UPNM dalam melahirkan graduan berwibawa.
Seramai 1266 graduan telah berjaya menamatkan pengajian dan dikurniakan watikah pada Istiadat Konvokesyen pada sesi kali ini. Masing-masing melangkah naik ke pentas dengan wajah yang penuh bangga. Daripada jumlah tersebut, 19 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 65 Ijazah Sarjana, 889 Ijazah Sarjana Muda, dan 293 Diploma.
Istiadat Konvokesyen kali ini diserikan lagi dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Strategi dan Pertahanan kepada mantan Panglima Angkatan Tentera ke-19, Yang Mulia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Bersara).
Graduan terbaik pula tidak pulang dengan tangan kosong. Sebanyak 54 anugerah akademik disampaikan, termasuk Anugerah Pelajaran Diraja dan Pingat Emas Canselor. Majlis ini bukan sekadar meraikan pencapaian individu, tetapi menjadi simbol keunggulan UPNM sebagai institusi pendidikan yang membentuk pemimpin masa hadapan.
Turut hadir adalah Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Razarudin Hussain; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datoโ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir; Panglima Tentera Darat, Jen Dato' Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datoโ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin yang mewakili Panglima Tentera Laut; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Pegawai-pegawai Kanan ATM, serta para Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam.
Tahniah kepada semua graduan UPNM 2024! Langkah ini hanyalah permulaan kepada perjalanan anda yang lebih besar. Teruslah melangkah dengan bangga dan membawa nama negara ke persada dunia.