KUALA LUMPUR, 29 Okt 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim telah berkenan bercemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) tahun 2024 yang diadakan di Balairung Seri Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini. Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. Istiadat ini dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-91 dan bertujuan menghargai Pegawai dan Lain-Lain Pangkat ATM yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan di dalam perkhidmatan ATM. Pengurniaan turut diberikan kepada pemerintah tentera negara asing yang turut menyumbang baik kepada Negara.
Istiadat Pengurniaan DKAT kali ini menyaksikan Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain dan PGAT (Kehormat) kepada Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim. Turut sama dikurniakan dalam Istiadat sama adalah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 18 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 35 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 25 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) kepada 20 penerima.
Seramai 353 penerima telah diperkenan bagi penganugerahkan pingat dalam Istiadat Pengurniaan DKAT pada tahun ini yang diadakan dalam dua sesi pengurniaan. Sesi pertama adalah pada hari ini yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim. Manakala, sesi kedua pula akan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan pada 25 Nov 24 di Wisma Perwira ATM dengan penglibatan 253 penerima.
Turut hadir ke Istiadat ini adalah Menteri Pertahanan; YB Dato' Seri Mohamed Khaled Bin Nordin, Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Datoโ Seri Mohammad bin Ab. Rahman, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai Kanan ATM dan Pegawai Kanan Awam Kementerian Pertahanan.