KUALA LUMPUR, 08 Oktober 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman selaku Kolonel Yang Dipertua (YDP) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mencemar duli bagi menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Sultan Sallehuddin (PSS) Tahun 2024 di antara 14 RAMD (Mek) dan 19 RAMD (Mek) bertempat di Stadium KEMENTAH hari ini.
Keberangkatan tiba KDYMM Sultan telah disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datoโ Seri Mohammad bin Ab. Rahman. Kejohanan berkenaan merupakan acara tahunan bagi RAMD bertujuan untuk mengenal pasti serta memilih pemain-pemain baharu yang akan mewakili rejimen dalam perlawanan peringkat Tentera Darat Malaysia, selain dapat memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan mengeratkan lagi hubungan setiakawan.
Perlawanan yang berlangsung selama 90 minit menyaksikan kedua-dua pasukan masih terikat dengan jaringan 0-0 dan diteruskan dengan acara sepakan penalti bagi menentukan pemenang.
14 RAMD (Mek) dinobatkan sebagai juara sekaligus menjulang Piala Sultan Sallehuddin selepas mengungguli penentuan sepakan penalti dengan jaringan 5 gol berbalas 4 menewaskan 19 RAMD (Mek). Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datoโ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Dato' Seri Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri merangkap Pengerusi Kor RAMD serta Pegawai-pegawai kanan RAMD.