BERITA TERKINI & SEMASA
KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2024 - Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Datoโ Seri Mohammad bin Ab. Rahman menyantuni MALBATT 850-11 melalui sesi sidang video bersama Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan bin Sagoni di pejabat beliau baru-baru ini yang turut disertai Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datoโ Zahani bin Haji Zainal Abidin TUDM.
Antara intipati utama yang dinyatakan dan dibincang semasa sesi tersebut adalah mengenai keadaan terkini dan moral pegawai serta anggota MALBATT 850-11 yang sedang bertugas di Lubnan. Selain itu, sesi tersebut turut menyentuh aspek semasa bagi operasi dan logistik MALBATT 850-11 yang berada di tengah konflik Lubnan-Israel. Komander MALBATT 850-11 turut menerangkan berkaitan prosedur operasi standard bagi keselamatan petugas MALBATT 850-11 apabila berlakunya sebarang situasi tegang atau diserang. Antaranya adalah arahan memasuki perlindungan (bunker) melalui amaran awal (early warning) yang dikeluarkan oleh pihak UNIFIL.
Dalam sesi sama, Kolonel Burhan Sagoni turut melaporkan berkenaan penugasan terkini pasukan yang tertumpu membantu agensi awam di Lubnan antaranya melaksanakan ulang bekal sumber air bersih kepada hospital awam di Tibnin dan turut membantu hospital awam dalam merawat pesakit.
PAT turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan pasukan MALBATT 850-11. Turut hadir semasa sesi sidang video tersebut adalah, Cik Farrah Naz Karim; Group Editor NST, Encik Azhar Muhidin; Timbalan Pengarang, Divisyen Berita & Ehwal Semasa TV 3 dan Encik Sharanjit Singh Tara Singh, Executive Editor, Content & Digital NST.
Berita dan Gambar : Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan.