BERITA TERKINI & SEMASA
KUANTAN, 23 Jan 25 โ Pangkalan Udara Kuantan (PU Kuantan) telah menerima kunjungan daripada Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman, dalam satu lawatan penghargaan ke perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Turut mengiringi lawatan beliau ke PU Kuantan adalah Asisten Ketua Staf Perancangan Pertahanan Markas ATM, Mej Jen Datoโ Zulkifli bin Hj Hamid TUDM . Acara lawatan dilaksanakan dengan penuh istiadat ketenteraan, mencerminkan penghormatan tinggi terhadap sumbangan besar beliau di sepanjang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketibaan PAT telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan, bersama pegawai kanan TUDM dan warga Pangkalan Udara Kuantan. Beliau telah menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menandakan permulaan rasmi lawatan tersebut.
PAT seterusnya memulakan lawatan tersebut dengan mengunjungi Bangunan Pergerakan Udara dan seterusnya menandatangani buku lawatan rasmi sebelum menghadiri sesi taklimat penerbangan, persiapan penerbangan, pemeriksaan perubatan sebelum penerbangan dan pemakaian flying gears. PAT kemudiannya dibawa ke landasan penerbangan bagi sesi bergambar sebelum menaiki pesawat F/A-18D Hornet yang dikendalikan oleh Pegawai Memerintah No 18 Skuadron, Lt Kol Muhd Faizal bin Ab Rahim TUDM. Turut mengiringi penerbangan tersebut sebuah lagi pesawat F/A-18D Hornet dan sebuah pesawat Sukhoi Su-30MKM.
Seusai penerbangan bersama pesawat FA-18D, majlis diteruskan lagi dengan sesi ramah mesra antara Jeneral Tan Sri Mohammad dan anggota Pangkalan Udara Kuantan, di mana beliau meluangkan masa bertanya khabar serta berkongsi pengalaman bersama warga TUDM. Di dalam ucapan beliau ketika sesi tersebut, Jeneral Tan Sri Datoโ Seri Mohammad telah menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih beliau kepada warga TUDM atas komitmen yang telah ditunjukkan di dalam perkhidmatan. Beliau turut mendoakan agar TUDM terus maju jaya dan dapat merealisasikan pelan rancangan pembangunan keupayaan TUDM 2055 atau CAP 55 seperti yang telah digariskan dalam pelan pembangunan TUDM.
Mengakhiri lawatan, acara street lining telah dilaksanakan oleh Pegawai dan anggota TUDM sebagai sebahagian daripada penghormatan warga Pangkalan Udara Kuantan terhadap kepimpinan dan dedikasi PAT.
Antara Pegawai Kanan TUDM yang turut hadir dalam lawatan penghargaan berkenaan adalah Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datoโ Sri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM Panglima Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datoโ Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM dan Panglima-Panglima Formasi Udara TUDM.