BERITA TERKINI & SEMASA
PORT DICKSON, 25 Jan 25 - Kem Segenting, Port Dickson telah menerima kunjungan daripada Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman, dalam satu lawatan penghargaan ke perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM). Ketibaan PAT Padang Kawad Kem Segenting telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato Wira Muhammad Hafizzudeain bin Jantan. Turut mengiringi lawatan beliau ke Kem Segenting adalah Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (AKS OLP) Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Acara lawatan dilaksanakan dengan penuh istiadat ketenteraan, mencerminkan penghormatan tinggi terhadap sumbangan besar beliau di sepanjang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perbarisan penghargaan berkenaan diadakan bagi menzahirkan ucapan terima kasih seluruh warga TDM kepada PAT yang telah mengabdikan diri selama hampit 38 tahun dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Acara dimulakan dengan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama Daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Mengiringi Panji-Panji Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Mejar Muhammad Fikri bin Senan, manakala Sarjan Mejar Rejimen Pengiring Panji-Panji adalah Pegawai Waren I Mohamad Husin bin Ismail.
Selesai Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, acara diteruskan dengan Perbarisan Tempur melibatkan trup dan juga ragaan aset TDM. Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Lt Kol Azlan Shah bin Baharom telah mengetuai perbarisan tersebut, melibatkan 10 detasmen dari trup Grup Gerak Khas, trup 10 Bgd Para, trup tempur, trup bantuan tempur dan trup bantuan khidmat melibatkan kira-kira 2800 pegawai dan anggota TDM.
PAT dalam ucapannya merakam setinggi- tinggi penghargaan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat dan warga TDM atas penganjuran perbarisan tersebut. Beliau juga menzahirkan penghargaan atas segala komitmen yang diberikan selama beliau menerajui ATM.
Usai acara perbarisan, acara diteruskan dengan Acara Penamaan Dewan Serbaguna Kem Segenting. Dewan berkenaan telah dinamakan sebagai Dewan Tan Sri Mohammad (TSM) sebagai pengiktirafan TDM kepada PAT atas jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan kepada TDM amnya dan ATM khasnya. Acara diteruskan dengan Majlis Jamuan di Dewan TSM, Kem Segenting. Di dalam acara tersebut, Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato Wira Muhammad Hafizzudeain bin Jantan turut berkesempatan menyampaikan ucapan penghargaan khusus buat PAT atas jasa bakti yang telah dicurahkan selama ini.
Acara diakhiri dengan acara street lining, di mana PAT telah โditarikโ oleh pegawai-pegawai TDM menaiki kenderaan perisai โMalaysian Infantry Fighting Vehicleโ dan diraikan oleh para pegawai dan anggota di bahu jalan di laluan utama Kem Segenting.
Turut hadir ke majlis penghargaan tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Sri Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri ; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato ' Mohd Sofi bin Md Lepi; Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaidan bin Atan, Panglima-Panglima Formasi, Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat dan warga TD.