BERITA TERKINI & SEMASA
PORT DICKSON, 12 Disember 2024 - Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11 yang dikatakan sebuah pasukan pengaman yang bukan calang-calang oleh Penganalisis Keselamatan, Fuad Mohd dalam satu kenyataan di Kosmo pada 14 Okt 24 lalu, kini telah selamat dibuat pembubaran dan kontinjen tersebut telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) semasa Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran MALBATT 850-11 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Datoβ Seri Mohammad bin Ab. Rahman di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini pagi ini.
Kolonel Burhan bin Sagoni, Komander MALBATT 850-11 mengetuai senarai penerima pingat bersama-sama enam Pegawai dan satu Lain-Lain Pangkat (LLP) sebagai simbolik bagi mewakili keseluruhan kontinjen MALBATT 850-11. Penganugerahan Pingat PNBB kepada kontinjen MALBATT 850-11 adalah bagi mengiktiraf komitmen dan profesionalisme setiap anggota MALBATT 850-11 yang berjaya melaksanakan tugas serta mandat yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ianya juga sebagai tanda penghargaan dan menjadi inspirasi kepada anggota pengaman agar sentiasa memberi yang terbaik kepada setiap penugasan perkhidmatan. Senarai penerima lain adalah Leftenan Kolonel Zainol bin Abdul Samad; Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohd Merican bin Yunus; Pegawai Staf Satu Gerak, Komander Errudin bin Bujang TLDM; Pegawai Staf Satu Latih, Leftenan Kolonel Mohamad Rizan bin Mahat TUDM; Pegawai Staf Satu Tadbir, Leftenan Kolonel H. Mohd Rofi Zukisam bin Hassan; Pegawai Staf Satu Logistik, Mejar Nurkhairunisa binti Kamarul Amran; Pegawai Wanita dan PW 1 Mohd Nazri bin Sabtu, Sarjan Mejar Rejimen.
Terdahulu, pertukaran kontinjen MALBATT 850-11 dengan MALBATT 850-12 telah dilaksanakan secara berperingkat melalui empat fasa penerbangan bermula pada 6 Nov 24 dan berakhir pada 20 Nov 24 lalu. Majlis Penghantaran Kontinjen MALBATT 850-12 turut dihadiri ahli keluarga anggota terlibat. Pertukaran kontinjen MALBATT ini dirancang teliti bagi memastikan pengoperasian diteruskan secara berkesan di samping mengekalkan kekuatan kuasa tempur kontinjen sebilang masa di kawasan misi. Setelah 12 bulan berkhidmat di bawah Panji-Panji PBB, MALBATT 850-11 dengan rasminya telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada MALBATT 850-12 pada 16 Nov 24 yang lalu.
Kontinjen MALBATT 850-11 terdiri daripada 850 anggota iaitu 80 Pegawai dan 770 LLP serta turut disertai oleh tiga pegawai dan 26 LLP dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan daripada Kementerian Pertahanan. Selaras dengan resolusi PBB yang menyeru peningkatan penglibatan wanita dalam misi pengaman, ATM telah menempatkan 10% anggota wanita terdiri daripada 11 pegawai dan 74 LLP Pranita.
Kerajaan Malaysia telah meluluskan penglibatan ATM dalam misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sejak tahun 2007 bertujuan membantu pasukan pengaman daripada negara anggota PBB lain dalam menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB bagi menyelesaikan konflik Israel β Lubnan 2006 yang telah sebulat suara dipersetujui oleh Majlis Keselamatan PBB pada 11 Ogos 2006.
Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, kontinjen MALBATT 850-11 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang meskipun menghadapi pelbagai cabaran getir akibat ancaman konflik berterusan antara Israel dan Lubnan. Kecekapan serta profesionalisme anggota kontinjen ini telah membuktikan keupayaan dan kemampuan ATM dan ABDB dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa. Dalam suasana operasi yang mencabar, kontinjen MALBATT 850-11 telah berjaya mengekalkan reputasi sebagai pasukan pengaman yang dihormati dan disegani, bukan sahaja oleh masyarakat setempat, malah dalam kalangan komuniti antarabangsa. Ini dibuktikan dengan penganugerahan Pingat UNIFIL Military Operation daripada Kerajaan Itali kepada Komander MALBATT 850-11 yang dizahirkan oleh Komander Sektor Barat UNIFIL atas kecemerlangan yang ditonjolkan oleh MALBATT 850-11. Ianya merupakan satu pengiktirafan di mana pingat tersebut tidak diberikan kepada semua komander pasukan yang bernaung di bawah Sektor Barat UNIFIL.
Turut hadir pada perbarisan tersebut adalah Panglima Tentera Laut; Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain, Ketua Staf Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat; Leftenan Jeneral Datoβ Zaidan bin Atan, Timbalan Panglima Tentera Udara mewakili Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Datoβ Sri Haji Muhammad Norazlan bin Aris TUDM, Ketua Staf Markas ATM; Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad, Panglima Angkatan Bersama; Leftenan Jeneral Datoβ Zahani bin Haji Zainal Abidin TUDM, Penasihat Pertahanan Negara Brunei Darussalam; Leftenan Kolonel Rudie Asmawi bin Haji Abidin, Pegawai Kanan ATM dan ABDB serta Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.