BERITA TERKINI & SEMASA
KUALA LUMPUR, 13 Disember 2024 β Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur diangkat sebagai pemenang pertandingan βCabaran Video Kreatif Kempen Tabik Wira Kitaβ yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan. Muhammad Rashdie bin Roziman guru di SK POLIS DEPOT KL yang juga merupakan pentadbir kepada sebuah halaman media sosial sekolah berkenaan menerima hadiah utama Kempen tersebut iaitu wang tunai sebanyak RM 6000. Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab. Rahman bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan. Muhammad Rashdie Romzan menghasilkan video kreatif memaparkan semangat patriotisme mendalam dengan melibatkan rakan sekerjanya dan tiga orang murid. Video tersebut menonjolkan semangat generasi muda pewaris bangsa yang cintakan tanah air tercinta.
Kempen Tabik Wira Kita merupakan inisiatif Menteri Pertahanan dengan disokong oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Unit Komunikasi Strategik (UKS) Kementerian Pertahanan telah berlangsung bermula 26 September dan melabuhkan tirainya pada 6 November 2024. Antara objektif utama penganjurannya adalah bagi menzahirkan pengharagaan kepada anggota ATM yang telah banyak berjasa kepada kedaulatan negara. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang tinggi nilai patriotismanya serta menghargai segala jasa dan pengorbanan para pejuang dan anggota tentera, melalui penyertaan cabaran menghasilkan video kreatif di media sosial.
Nurul Shuhada binti Omar, Jururawat dari Klinik Kesihatan Pasir Panjang, Port Dickson pula berjaya meraih tempat kedua dalam kempen tersebut dengan hadiah bernilai RM4000. Dalam video yang dihasilkan bersama suami dan dua orang anaknya, Nurul Shuhada berjaya menghasilkan video yang memberi penekanan kepada pentingnya keluarga dalam membentuk generasi yang cintakan tanah air, sekaligus menggambarkan bahawa semangat wira itu boleh lahir dari setiap lapisan masyarakat.
Manakala, pemenang tempat ketiga dengan nilai hadiah RM2000, digondol oleh Muhammad Aniq Qawwiem bin Mohamad Sazaly, seorang Penulis dan Penyiar Bebas yang mengangkat tema keamanan negara dan jasa Perwira Negara yang telah berjuang demi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air. Melalui video tersebut, beliau menunjukkan penghargaan yang mendalam terhadap pengorbanan wira negara, sambil mengajak rakyat untuk menghargai keamanan yang kita nikmati hari ini.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Fattah Amin yang merupakan Duta kepada kempen βTabik Wira Kitaβ. Fattah Amin, yang turut terkenal dengan peranannya dalam mempromosikan nilai patriotisme melalui karya seni, tidak ketinggalan meluangkan masa untuk bergambar dan berinteraksi dengan para pemenang serta hadirin yang hadir.
Kempen Tabik Wira telah mencatat sebanyak 6.6 juta tontonan sepanjang tempoh pelaksanaannya, menjadikannya bukan sahaja sebuah kempen penghargaan, tetapi juga usaha penting untuk memupuk semangat perpaduan, nilai patriotisma dan penghargaan terhadap perjuangan Angkatan Tentera Malaysia. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, sekali gus melahirkan lebih ramai wira yang mampu menginspirasi seluruh rakyat Malaysia. Semoga usaha murni ini juga akan terus melahirkan lebih ramai perwira yang bersemangat membela tanah air tercinta.
Turut hadir adalah Panglima Tentera Laut; Laksamana Datoβ Zulhelmy bin Ithnain, Ketua Staf Markas Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat; Leftenan Jeneral Datoβ Zaidan bin Atan, Timbalan Panglima Tentera Udara mewakili Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera; Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad, para pegawai kanan ATM serta warga Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang berkerja di Wisma Pertahanan.
Lihat Galeri Gambar