logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

 

KUALA LUMPUR, 31 Jan 25 - Hampir empat dekad menabur baktinya kepada negara, secara rasminya, Panglima Angkatan Tentera Ke-22 (PAT Ke-22), Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Seri Mohammad bin Ab. Rahman menamatkan perkhidmatan yang ke 38 tahun dengan gemilang. PAT Ke-22 menyerahkan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar, Panglima Angkatan Tentera Ke-23 (PAT Ke-23) dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera yang diadakan di Wisma Pertahanan petang ini.

Terdahulu, sebelum Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera dilaksanakan, Majlis Pemakaian Pangkat PAT Ke-23 telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Datoโ€™ Seri Mohamed Khaled bin Nordin. Di atas komitmen dan kecemerlangan sepanjang menabur bakti dalam perkhidmatan, pada hari ini, Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar telah diberi kepercayaan untuk menerajui ATM.

Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar merupakan graduan daripada Royal Military Academy Sandhurst, England yang berprestij tinggi dan beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus kerjaya di dalam serta luar negara antaranya kursus Junior Command and Staff College, Bangladesh; Mid Career Management Course, Pakistan; Command and General Staff College Fort Leavenworth, Amerika Syarikat dan Le Collรจge Interarmรฉes de Dรฉfense, Perancis. Beliau juga berjaya menamatkan pengajian di Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya dengan cemerlang dan telah dianugerahkan The National Resilience College (NRC) Award oleh NRC Directing Staff Council. Selain itu, beliau juga merupakan graduan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Nottingham dan dianugerahkan sebagai Fellow Scholar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kerjaya ketenteraan beliau bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring (Aide-De-Camp) kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (1989-1990) dan Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim bin Mohd Ali (1990-1992). Di atas dedikasi dan kewibawaan yang ditunjukkan sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia, Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar telah diberi kepercayaan menjadi Juruiring kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-14 (2011-2016).

Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar juga pernah menjawat jawatan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Ipoh dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson. Sebelum menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA) di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM โ€“ BPA), beliau telah menjawat jawatan sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), PUSPAHANAS, Putrajaya.

Di peringkat antarabangsa pula, Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar turut mencipta sejarah sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia pertama yang terpilih menghadiri Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Malaysian Battalion (MALBATT) 2 di Lubnan.

Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Risia binti Sheikh Ali Omar Bajarai dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Sementara itu, Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Seri Mohammad bin Ab. Rahman telah mengambil alih jawatan PAT daripada Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera Ke-21 pada 6 September 2023.

Sepanjang hampir 38 tahun kariernya, Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Seri Mohammad bin Ab. Rahman telah menjawat pelbagai jawatan antaranya adalah Pembantu Ketenteraan kepada Panglima Tentera Darat, Pegawai Staf di dalam Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUC), Pemangku Pengarah Operasi Domestik di Markas Angkatan Bersama, Ketua Staf Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia, Ketua Staf Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Pengarah Kanan di Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Darat, Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-25 dan seterusnya dinaikkan ke pangkat Jeneral sebagai Panglima Tentera Darat Ke-29 pada 22 Mac 2023.

Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Seri Mohammad bin Ab. Rahman juga menghadiri pelbagai kursus ketenteraan dan akademik sama ada di dalam mahupun di luar negara antaranya Kursus Staf dan Taktik Gred 2 di Waiouru, New Zealand, Army Command and Staff College di Queenscliff, Australia, Law of Armed Conflict di Sydney, Australia serta Defence and Strategic Studies Course di Canberra, Australia. Beliau juga merupakan graduan lulusan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), lulusan Sarjana Pengajian Pertahanan dari University of Canberra, Australia dan Sarjana Sains Sosial (Kajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perjalanan tugas Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Seri Mohammad bin Ab. Rahman sebagai PAT Ke-22 amat mencabar khususnya apabila evolusi peralatan dan doktrin pertahanan yang semakin berubah seiring dengan perkembangan teknologi semasa. ATM mula mengorak usaha ke arah pelaksanaan Gerak Tindak Reformasi ANGKATAN 30 yang melibatkan perubahan dan penstrukturan semula beberapa aspek bagi memantapkan lagi ketiga-tiga cabang Perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan negara kekal terpelihara.

Agenda Transformasi ATM telah bermula sejak penerbitan Kertas Putih Pertahanan (KPP) pada tahun 2019 dan diperkukuhkan lagi dengan Strategi Ketenteraan Negara (SKN) pada tahun 2023 bagi menetapkan iltizam untuk merealisasikan pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH) menjelang tahun 2030 melalui inisiatif Gerak Tindak Reformasi ANGKATAN 30.

Turut hadir menyaksikan majlis serah terima tugas tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datoโ€™ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datoโ€™ Zahani bin Haji Zainal Abidin TUDM; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad, para Pegawai Kanan ATM serta Warga ATM sekitar Lembah Klang.

Lihat Galeri Gambar