KUALA LUMPUR, 4 Feb 25 โ Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kebajikan anggota serta memperkasakan institusi ketenteraan negara dalam ucaptama sulungnya di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.
Beliau menekankan bahawa, kesejahteraan anggota adalah teras utama dalam memastikan ATM kekal sebagai sebuah angkatan yang efisien dan berdaya tahan. Justeru, aspek kebajikan anggota, termasuk penilaian Happiness Index, perlu diberi perhatian bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan hidup mereka.
โKita perlu melihat sejauh mana kebajikan anggota telah diberikan perhatian sewajarnya. Selain itu, penerapan nilai-nilai murni juga perlu diperkukuhkan bagi memperteguhkan aspek kerohanian dalam kalangan anggota,โ katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyoroti kepentingan memupuk semangat esprit de corps atau persaudaraan dalam kalangan anggota. Isu aduan dan keluhan yang sering tular di media sosial, katanya, perlu ditangani dengan berkesan agar tidak menjejaskan keharmonian dalam organisasi ketenteraan.
Selain itu, latihan yang berterusan bukan sahaja dilihat sebagai keperluan operasi, malah dianggap sebagai satu bentuk kebajikan kepada anggota bagi meningkatkan kecekapan serta membina semangat persaudaraan yang lebih erat.
โPenyediaan peralatan asas yang mencukupi serta persekitaran kerja yang selesa adalah faktor penting dalam memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan cemerlang tanpa sebarang kecacatan,โ tambahnya.
ATM juga disaran bergerak ke arah menjadi sebuah organisasi pembelajaran (learning organisation) yang menekankan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam kalangan anggota. Kerjasama strategik dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut digariskan sebagai usaha memperkasa Professional Military Education (PME) agar ATM terus relevan dalam menghadapi cabaran pertahanan moden.
Di samping itu, beliau menegaskan kepentingan nilai Warriorโs Ethos seperti toleransi, empati, integriti, dan perpaduan yang harus menjadi pegangan setiap anggota ATM dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Media juga, katanya, perlu dimanfaatkan dengan lebih strategik bagi membentuk naratif positif mengenai peranan ATM dalam menjaga keselamatan negara serta memperkukuhkan persepsi masyarakat terhadap angkatan tentera.
Selain kebajikan anggota, beliau turut menekankan pemerkasaan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan menzahirkan penghargaan kepada para veteran ATM atas jasa serta pengorbanan mereka kepada tanah air.
Mengakhiri ucaptamanya, beliau menyeru semua warga ATM untuk terus berpegang kepada prinsip โDuty - Honour - Sacrificeโ sebagai asas dalam setiap tindakan dan keputusan demi memastikan ATM kekal sebagai angkatan pertahanan yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ucaptama berkenaan turut disiarkan secara langsung di platform sidang video kepada seluruh formasi dan pasukan di bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia, termasuk yang sedang bertugas di Lubnan, iaitu pasukan MALBATT 850-12.
Turut hadir dalam sesi ucaptama tersebut adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datoโ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datoโ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datoโ Zahani bin Haji Zainal Abidin TUDM; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Razali bin Alias serta para Pegawai Kanan ATM.