logo mafhq

PORTAL RASMI
MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

(MAFHQ)

logo jata
 
gov1
MyGov
mod
MinDef
markas angkatan bersama
MAB
tentera darat malaysia
TDM
tentera laut diraja malaysia
TLDM
tentera udara diraja malaysia
TUDM

logo mafhq
 

PORTAL RASMI
MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

(MAFHQ)

 
logo jata

ISTIADAT PERBARISAN PENTAULIAHAN DIRAJA DAN PENGURNIAAN WATIKAH TAULIAH PEGAWAI KADET DAN PEGAWAI GRADUAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA 2017

POP4KUALA LUMPUR, 18 Mac 2017 – Hari ini berlangsungnya Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2017 bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Pegawai Kadet yang ditauliahkan seramai 339 Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan terdiri daripada 194 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 48 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 97 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Mereka telah berjaya menamatkan pengajian di Peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan telah mengikuti latihan ketenteraan bagi tempoh empat hingga lima tahun hinggalah ditauliahkan dalam istiadat yang penuh gemilang ini.

POP6

Istiadat ini merupakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja yang julung kalinya disempurnakan
Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke XV, Sultan Muhammad Ke V yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia selaku Pegawai Tabik Hormat.

Sejarah penubuhan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bermula dengan penubuhan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) pada 1 Jun 1995 sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjalankan program pengajian di peringkat Sarjana Muda dan latihan ketenteraan kepada Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Peranan ATMA kemudian diperluaskan dengan menjadikannya sebagai UPNM yang diwartakan pada 10 November 2006. Walaupun UPNM memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajarnya pada sesi 2007/2008, sebenarnya ia telah mempunyai pengalaman mengendalikan program pengajian di peringkat Sarjana Muda selama 11 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2006 melalui program kerjasama antara Kementerian Pertahanan dengan Universiti Teknologi Malaysia di mana seramai lebih kurang 1017 graduan telah dikeluarkan dalam tiga bidang yang merangkumi Kejuruteraan, Sains dan Pengurusan. Sehingga kini, seramai 4300 graduan telah ditauliahkan sebagai Pegawai ATM dan mereka sedang berkhidmat di pelbagai unit dalam Tentera Darat, Tentera Laut DiRaja Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia. Pecahan Pegawai Kadet mengikut komposisi kaum yang terlibat di dalam istiadat perbarisan ini ialah 324 kaum Melayu, 7 kaum Cina, 7 kaum India dan 1 daripada kaum Sikh manakala pegawai kadet wanita adalah seramai 74 orang.

POP1

Bidang pengajian akademik yang diikuti oleh Pegawai Kadet di UPNM peringkat Sarjana Muda meliputi bidang Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Kuasa, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Komunikasi, Kejuruteraan Mekanikal, Pengurusan Sumbar Manusia Pertahanan, Pengajian Strategi, Sains Teknologi Maritim, Sains Komputer Sistem Keselamatan dan Sains Komputer Sistem Cerdas.

Hasil ketekunan dan berkat kesabaran yang dipamerkan semasa mengikuti pengajian akademik dan latihan ketenteraan, Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan Akademi Latihan Ketenteraan dianugerahkan kepada Pegawai Rendah Kanan Muhd Hafiz bin Muhd Yusoff. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Kuasa, menerima Piala Seri Perkasa dan sebilah pedang. Beliau berasal dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur, dilahirkan pada tanggal 5 Februari 1993 dan merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik. Beliau ditauliahkan ke Cawangan Kejuruteraan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

POP3

Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat Malaysia (TDM) dianugerahkan kepada Pegawai Rendah Kanan Abdul Salam bin Halimi, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Beliau menerima Piala Seri Gagah Setia dan ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja. Pegawai Kadet Terbaik Tentera Laut Diraja Malaysia dianugerahkan kepada Pegawai Kadet Kanan Muhammad Fawwaz bin Abu Bakar, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim. Beliau menerima Piala Seri Samudera dan ditauliahkan ke Cawangan Eksekutif TLDM. Pegawai Kadet Terbaik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dianugerahkan kepada Pegawai Rendah Muda Nur Antasha binti Zulkarnain, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Komunikasi. Beliau menerima Piala Seri Angkasa dan ditauliahkan ke Cawang Juruterbang TUDM.

Majlis Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan Angkatan ATM ke Leftenan Muda (Lt M) telah dilaksanakan di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan kepada 339 Pegawai Kadet ATM yang terdiri daripada 194 Kadet Tentera TDM, 48 Kadet Tentera TLDM dan 97 Kadet TUDM. Manakala Pegawai Graduan terdiri daripada 69 TDM, 20 TLDM dan 38 TUDM.

POP5

Turut hadir ialah Yang Berhormat Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan Malaysia; Yang Berhormat Datuk Wira Mohd Johari Baharum, Timbalan Menteri Pertahanan;Yang Berbahagia Dato’ Sri Abd Rahim bin Mohd Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Yang Berbahagia Jeneral Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim, Panglima Tentera Darat; Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Laut; Yang Berbahagia Jeneral Dato’ Sri Haji Affandi bin Buang TUDM, Panglima Tentera Udara; Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Yang Berbahagia Brigedier Jeneral Dato’ Haji Mohd Adkhaa bin Haji Solahuddin TUDM, Komandan Akademi Latihan Ketenteraan dan Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia.