logo mafhq

PORTAL RASMI
MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

(MAFHQ)

logo jata
 
gov1
MyGov
mod
MinDef
markas angkatan bersama
MK AB
tentera darat malaysia
TDM
tentera laut diraja malaysia
TLDM
tentera udara diraja malaysia
TUDM

logo mafhq
 

PORTAL RASMI
MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

(MAFHQ)

 
logo jata

Profil Panglima Angkatan Tentera

 

JENERAL TAN SRI DATO’ SRI HAJI AFFENDI BIN BUANG TUDM

PGAT PSM SPKK SSAP DPPN PSAT DIMP PAT SAP KAT AMP PTU PJM PKN

PPS PPA rcds (UK) Dssc (Aus) MA (Deakin) psc jt TUDM

PANGLIMA ANGKATAN TENTERA

Jeneral Tan Sri  Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Kuching, Sarawak dan mendapat pendidikan awal di Kuching, Sarawak. Pada tahun 1978, beliau telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi sehingga berjaya memperolehi Sijil Peperiksaan Malaysia (MCE) pada tahun 1979.

Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi menyertai Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pegawai Kadet TUDM dalam tahun 1980 dan menerima latihan asas di Sekolah Pegawai Kadet, Sebatang Kara, Port Dickson.  Pada tahun 1981, beliau telah dipilih untuk menjalani Latihan Asas Terbang di TUDM Alor Setar dan berjaya ditauliahkan ke dalam Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai Leftenan Muda pada tahun 1982.  Berbekalkan pengetahuan, kemahiran serta keberanian dan kematangan, Jeneral Dato' Sri Hj Affendi telah ditugaskan ke Pusat Latihan Terbang No 3 di TUDM Kuantan untuk penukaran latihan asas jet pejuang menggunakan pesawat MB-339A.  Di sinilah titik permulaan kerjaya beliau sebagai juruterbang pesawat pejuang di mana beliau seterusnya mengorak langkah dengan penukaran kepada latihan operasi menggunakan pesawat pejuang McDonnell Douglas A-4 Skyhawk di No 9 Skn pada Oktober 1984 diikuti dengan penglibatan operasi pertamanya menggunakan pesawat tersebut di No 6 Skn pada Jun 1985. Sebagai pengiktirafan terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap yang positif sebagai juruterbang jet pejuang, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi telah dihantar untuk mengikuti kursus Jurulatih Penerbangan pada Januari 1988 di ILIT, TUDM Alor Setar dan kemudiannya dihantar semula ke No 9 Skn pada Julai 1988 sebagai Jurulatih Penerbangan pesawat A-4 Skyhawk.

Pada tahun 1994, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi telah dipilih sebagai salah seorang ahli untuk Tim Projek  MiG-29, yang mana beliau kemudiannya dilantik sebagai Tim Teknikal Projek MiG-29 TUDM di Rusia.  Bersama-sama dengan mantan PTU Jeneral Tan Sri Rodzali (Bersara) dan PTU sekarang Jeneral Dato' Sri Ackbal, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi merupakan perintis bagi induksi MiG-29 ke dalam keupayaan operasi TUDM dan memainkan peranan penting dalam proses pemindahan teknologi dan pengumpulan data keupayaan operasi MiG-29. Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi juga salah seorang pengasas MiG-29 TUDM yang dalam penubuhan pasukan aerobatik taktikal lebih dikenali sebagai "Smokey Bandits".  Beliau kemudian mengetuai "Smokey Bandits" sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pegawai Memerintah No 17/19 Skn.

Sepanjang kerjaya dalam operasi penerbangan beliau, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi adalah salah seorang yang disegani dan amat dikenali sebagai juruterbang pejuang yang cekap.  Beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai operasi udara seperti operasi Close Air Support dan Battlefield Interdiction Mission ketika menentang pemberontakan komunis pada lewat 1980-an.  Penglibatan beliau dalam pengoperasian pesawat A-4 Skyhawk dan MiG-29 meliputi rondaan di seluruh Malaysia termasuk Gugusan Semarang Peninjau (Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan) dan Zon Maritim Malaysia.

Pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik yang ditunjukkan oleh Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi menjadi lebih terserlah dan berkembang apabila digabungkan dengan pengalaman beliau semasa menjawat pelbagai jawatan pemerintah di peringkat taktikal, operasi dan di peringkat strategik. Dari tahun 1997 hingga 2002, beliau ditugaskan ke No 1 Divisyen Udara, pada mulanya sebagai Pegawai Staf 2 Piawaian, Keselamatan dan Kesiagaan dan kemudiannya sebagai Pegawai Staf 1 Operasi Pejuang. Semasa memegang jawatan ini, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bertanggungjawab ke atas  kesiapsiagaan  operasi dan kompetensi keselamatan anak kapal pesawat pejuang TUDM. Beliau kemudiannya diamanahkan untuk memerintah No 17/19 Skn dari tahun 2002 hingga 2004. Pada tahun 2006, beliau telah mengambil alih tugas sebagai Komander Pangkalan Udara Butterworth sehingga 2007. Pada tahun 2008 hingga 2009 beliau telah ditugaskan sebagai Pengarah J5 (Perancangan dan Kontingensi) di Markas Angkatan Bersama.  Pada Disember 2009, beliau telah dinaikkan ke pangkat Brigadier Jeneral TUDM dan telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais di Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) sehingga akhir tahun 2010 dan kemudian mengikuti kursus di United Kingdom selama setahun.

Setelah menamatkan kursus di United Kingdom, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi telah dihantar semula ke MPOU pada September 2011 sekali lagi sebagai Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais dan seterusnya beliau dinaikkan pangkat dalam jawatan itu ke pangkat Mejar Jeneral TUDM pada tahun 2013. Pada Julai 2014 beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Jeneral TUDM dan dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB) di Markas Angkatan Bersama.  Pada akhir tahun 2014, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi dilantik pula sebagai Panglima Operasi Udara (PANGOP). Beliau berkhidmat sebagai Panglima Operasi Udara selama kira-kira satu tahun sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara (TPTU) iaitu pada tahun 2015.  Pada 21 Dis 16, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah dinaikkan pangkat sebagai Panglima Tentera Udara dan mengambil alih tugas daripada Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM untuk menjadi Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia yang ke-18.   Pada 2 Jan 20, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 dan mengambil alih tugas daripada Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin.

Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi adalah seorang insan yang sentiasa percaya kepada pembelajaran sepanjang hayat dan percaya bahawa ilmu pengetahuan sebagai sebahagian daripada peningkatan kecekapan serta kemahiran dalam pengendalian tugas.  Selain kursus kerjaya penerbangan beliau, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi menghadiri kursus di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) pada tahun 1997 dan Kursus Pertahanan dan Kajian Strategik di Pusat Pengajian Pertahanan dan Strategik (CDSS) Australia pada tahun 2005. Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi juga turut melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi untuk melayakkan dirinya sebagai pemegang Masters of Arts (Pengajian Strategik) dari Deakin University, Australia.  Sebagai Pegawai Kanan TUDM dan sebagai pengiktirafan terhadap jasa-jasa beliau kepada TUDM, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi telah diberi peluang menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman  di Royal College of Defence Studies (RCDS) London pada tahun 2011.

Untuk menghargai perkhidmatan dan jasa-jasa beliau kepada negara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi telah dianugerahkan beberapa pingat dan anugerah oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta Angkatan Tentera Malaysia.  Selain daripada pingat perkhidmatan, beliau adalah antara yang dianugerahkan Pingat Tentera Udara (PTU), yang dianugerahkan kepada anak kapal Tentera Udara Diraja Malaysia untuk keberanian dalam melaksanakan tugas penerbangan.  Beliau telah dianugerahkan beberapa pingat penghormatan tentera termasuk Kesateria Angkatan Tentera (KAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT).  Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi juga dikurniakan Darjah Kebesaran oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Ahli Mahkota Pahang (AMP), Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) dengan gelaran Dato' dan Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri.  Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi juga telah menerima Darjah Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Dato’ oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V.  Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.  Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi juga telah menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Dato’ Seri oleh Yang di-Pertua Pulau Pinang.

Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah berkahwin dengan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh Tengku Muhaini binti Sultan Hj Ahmad Shah.

Kemaskini pada Selasa, 7 Jan 2020 Jam 1600