logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

 

KUALA LUMPUR, 23 September 2024 - Majlis pemakaian pangkat Panglima Tentera Laut telah diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan pada hari ini. Laksamana Madya Datuk Zulhelmy bin Ithnain telah dinaikkan ke pangkat Laksamana dan sekaligus dilantik sebagai Panglima Tentera Laut Ke-19 menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob yang akan bersara pada 2 Disember 2024.

Pemakaian pangkat tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin dan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab. Rahman. Turut hadir adalah barisan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Laksamana Datuk Zulhelmy dilahirkan pada 2 Jan 1968 di Dato’ Keramat, Kuala Lumpur. Beliau telah menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja bermula pada tahun 1981 hingga tahun 1985 dan memulakan karier dalam perkhidmatan TLDM dengan mengikuti latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1986, dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam cawangan Eksekutif dua tahun kemudian.

Kerjaya beliau sebagai seorang Submariner bermula pada tahun 1993 apabila memperolehi lencana kepakaran kapal selam setelah menamatkan latihan kapal selam di HMAS Platypus, Australia. Laksamana Datuk Zulhelmy seterusnya telah menamatkan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis dan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta. Sejarah turut tercipta apabila beliau berjaya membawa pulang Kapal Selam Pertama Malaysia KD TUNKU ABDUL RAHMAN dari Perancis yang mengambil masa dua (2) bulan.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau sepanjang perkhidmatan adalah Panglima Angkatan Kapal Selam, Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut, Panglima Wilayah Laut 1, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Timbalan Panglima Tentera Laut seterusnya memegang jawatan Pemangku Panglima Tentera Laut pada 1 Ogos 2024.

Laksamana Datuk Zulhelmy merupakan pemegang Ijazah Sarjana National Security Administration yang mana beliau turut menerima The Outstanding Alumni Award dari National Defence College of the Philippines. Beliau juga merupakan alumni United States Naval War College, Rhode Island dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom.

Seluruh warga ATM merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain di atas pelantikan sebagai Panglima Tentera Laut Ke-19.

Lihat Galeri Gambar