MELAKA 20 September 2024 - Bahagian Inspektorat Jeneral telah berjaya menganjurkan Kursus Internal Audit pada 16 hingga 20 September 24 di Hotel The Pines, Melaka dengan penyertaan seramai 20 orang peserta dari pelbagai Bahagian /Cawangan/Jabatan (BCJ) di bawah Markas ATM. Kursus ini bertujuan memperkukuhkan kemahiran peserta dalam pelaksanaan audit dalaman yang lebih efisien.
Sepanjang kursus selama 5 hari, peserta diberi pendedahan mengenai prinsip asas audit dalaman, kaedah penilaian risiko, serta teknik penyediaan laporan audit yang profesional. Latihan praktikal dan sesi interaktif turut dilaksanakan bagi memastikan kefahaman yang mendalam serta pengaplikasian ilmu dalam situasi sebenar.
Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Rosli bin Bahrun, Timbalan Inspektor Jeneral ATM, yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan audit dalaman sebagai salah satu elemen penting dalam memastikan integriti dan kecekapan organisasi terpelihara.