TANJUNG MALIM, 21 September 2024 – Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan untuk mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pagi ini.
Keberangkatan tiba telah disambut oleh Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan Naib Canselor UPSI, Kolonel (Kehormat) Profesor Dat o ’ Dr. Md Amin Md Taff.
Istiadat Perbarisan ini melibatkan 1435 Pegawai Kadet PALAPES terdiri daripada 20 UA dari seluruh Malaysia. Turut diadakan adalah penyampaian Anugerah Pedang Kehormat kepada 35 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan.
Selesai istiadat perbarisan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak turut berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada para pegawai yang terdiri daripada 810 Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW), 350 Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 275 Pegawai Muda di dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor yang disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira.
Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-42 merupakan istiadat yang diadakan secara tahunan dan dianjurkan oleh UA di seluruh Malaysia mengikut penggiliran.
Turut hadir adalah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Ts. Shamsuddin bin Haji Ludin mewakili Panglima Tentera Laut serta Pegawai-pegawai Kanan ATM.