PUTRAJAYA, 5 Jun 2024 - Satu seminar yang bertajuk Navigating South China Sea Tensions: Strategies for Regional Stability telah dianjurkan dengan jayanya oleh Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) serta Kedutaan Amerika Syarikat bertempat di Dewan Hikmat, PUSPAHANAS.
Tetamu jemputan merupakan Senior Fellow Center for Strategic and Budgetray Assessment, Washington iaitu Dr Toshi Yoshihara. Seminar ini turut melibatkan semua penuntut dan staf di Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Ketenteraan Angkatan Tentera (MTAT). Selain itu, undangan jemputan turut melibatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), warga Markas Angkatan Bersama, warga Awam Kementerian Pertahanan serta staf dari pejabat kerajaan dan kementerian sekitar Putrajaya seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan serta pensyarah universiti termasuk penyelidik.
Dr. Toshi Yoshihara melalui forum yang dilaksanakan ini telah membentangkan pandangan beliau terhadap situasi semasa di Laut China Selatan dan menawarkan pendekatan strategik, bertujuan untuk mengekalkan kestabilan, keamanan dan keselamatan di rantau ini. Seminar ini juga secara tidak langsung memberi tumpuan kepada strategi dalam bentuk kerjasama dan penyelesaian konflik yang bakal memupuk kepada perbincangan yang membina. Ia juga turut menekankan kepentingan kestabilan serantau dalam konteks pendekatan ASEAN serta menonjolkan kepentingan bersama dalam kalangan pihak yang berkepentingan.
Seminar seumpama ini juga memperlihatkan keupayaan dan imej PUSPAHANAS khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya selaku penganjur melaksanakan program yang bertaraf antarabangsa selain dapat memberi impak yang lebih meluas mengikut situasi semasa. Turut hadir ialah Presiden PUSPAHANAS, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali dan para Pegawai Kanan ATM.