logo mafhq

OFFICIAL PORTAL
MALAYSIAN ARMED FORCES HEADQUARTERS

(MAFHQ)

logo jata
 
gov
MyGov
mod
MinDef
markas angkatan bersama
MAB
tentera darat malaysia
TDM
tentera laut diraja malaysia
TLDM
tentera udara diraja malaysia
TUDM

logo mafhq
 

OFFICIAL PORTAL
MALAYSIAN ARMED FORCES HEADQUARTERS

(MAFHQ)

 
logo jata

AMANAT PANGLIMA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA TAHUN 2019

 

1

YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin, Panglima Angkatan Tentera

 

KUALA LUMPUR, 4 Januari 2019 – Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin telah menyempurnakan Majlis Amanat Panglima Angkatan Tentera Tahun 2019. Acara telah dilangsungkan di Auditorium Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

       Amanat Panglima Angkatan Tentera Tahun 2019 dizahirkan dengan tujuan untuk memberi gambaran, panduan dan rujukan kepada semua perkhidmatan berkenaan hala tuju ATM bagi tahun 2019. Ia bertemakan sebagai “Year of Joint” atau “Tahun Ketumbukan Bersama”. Konsep ketumbukan bersama berkait rapat dengan ‘interoperability’ antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Enam elemen utama ditekankan dalam amanat tersebut iaitu Kesatuan, Angkatan Berintegriti, Kekal Relevan dan Tekal Seiring Masa, Angkatan Eksklusif, Kebajikan dan Pengukuhan Diplomasi Ketenteraan.                             (Petikan Teks Amanat Panglima Angkatan Tentera Tahun 2019)

 

3

Pegawai dan Anggota Angkatan Tentera Malaysia yang tekun mendengar Amanat PAT yang diberikan.

 

        “Kesatuan adalah teras kekuatan kita dan merupakan elemen pertama yang saya ingin huraikan. “We are stronger when we stand together”. Atas kata-kata itu, kita memilih tema Amanat Tahun 2019 ini sebagai “year of joint” atau “tahun ketumbukan bersama”. Konsep ketumbukan bersama berkait rapat dengan ‘interoperability’ antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara. Dalam konteks hari ini, “no services is superior than the other, we need to complement each other and work as one entity in today’s strategic environment”. Atas prinsip itu, saya melihat ‘cyber domain’ khususnya dalam aspek information superiority sebagai platform utama yang mampu memangkin ‘interoperability’ ini, melalui perkongsian maklumat, data, ‘real time operational picture’ dan aspek ‘command and control’. Ke arah itu, kita memerlukan penubuhan data fusion center (dfc) dan information fusion center (ifc) bagi mengkoordinasikan setiap gerakan atau operasi yang dilaksanakan. Pusat ini akan berfungsi sebagai ‘one-stop centre’ yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat penting bagi tujuan mengkoordinasi serta menentukan respon tindakbalas yang tepat dalam sebarang situasi keselamatan mahupun aktiviti di bawah military operations other than war (mootw). Atas konsep ‘joint’ juga, ATM akan mewujudkan ‘special forces operation command’ yang akan menggabungkan elemen pasukan khas dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam melaksanakan tugas-tugas khas yang melibatkan kepentingan nasional dan strategik.

      Markas Angkatan Bersama (MAB) dan Markas ATM perlu memantapkan peranannya sebagai platform utama dalam menggerakkan ketumbukan bersama ini. Pada masa yang sama, saya yakin ATM akan mengambil langkah positif dalam memartabatkan elemen ‘joint’ ini dalam semua aspek berkaitan; termasuk latihan, eksesais dan operasi. Dalam konteks yang sama, ATM juga dalam usaha untuk mewujudkan pemerintahan wilayah atau regional commands di seluruh negara agar pelaksanaan operasi dan pengoperasian yang lain akan lebih efektif serta efisien. Penubuhan regional commands ini akan terus dikaji secara terperinci dari pelbagai aspek merangkumi organisasi, struktur, komposisi dan sebagainya. Kajian ini juga akan mengenalpasti bagaimana dan cara mana yang terbaik untuk mewujudkan pemerintahan ini mengambil kira segala bentuk organisasi, penstrukturan, pembangunan dan mekanisme yang sedia ada di dalam ATM pada masa kini. Kita juga sedar bahawa konsep ‘joint’ ini sudah tentunya akan berdepan cabaran yang pelbagai. Namun begitu, saya yakin dengan semangat warga ketiga-tiga cabang perkhidmatan, kita akan berjaya membina kematangan struktur pengoperasian dengan berbekalkan kesanggupan kita untuk melalui fasa ‘learn, unlearn and relearn’. Kita mestilah berubah dan berupaya untuk menjadi ejen kepada perubahan, sebagaimana kata-kata Sohail Inayatullah (UNESCO Chair in Future Studies):

“Culture will eat strategy and policies for breakfast if change is not radical enough”.

       Sebagai pemangkin, ATM juga berhasrat untuk mengadakan satu eksesais tahun ini secara bersama merangkumi ketiga-tiga perkhidmatan termasuk Markas Angkatan Bersama selaku peneraju eksesais. Eksesais ini dinamakan Eksesais Pahlawan 2019 dan akan dilaksanakan pada bulan Oktober tahun ini. Ia akan dilaksanakan dalam bentuk command post exercise (cpx) dan field training exercise (ftx) melibatkan trup dan aset darat, laut, udara dan pasukan khas. Dari sudut kursus pula, beberapa jenis kursus yang mempunyai persamaan di antara ketiga-tiga perkhidmatan ATM juga akan digabungkan dan dilaksanakan secara bersama. Markas ATM bersama setiap perkhidmatan sedang melaksanakan kajian untuk menggabungkan kursus-kursus tertentu agar ia dapat diimplimentasikan secara gabungan atau ‘joint’. Ke hari ini beberapa kursus telah dikenalpasti antaranya kursus pengangkutan/pemandu, kursus sajian dan kursus asas bomba.

 

2

Suasana di Auditorium, Kementerian Pertahanab sepanjang Majlis Amanat PAT berlangsung.

 

     Rakan Seperjuangan Sekalian,

 

     Elemen Kedua: Angkatan Berintegriti. Dalam menunaikan khidmat kita kepada kerajaan yang memerintah, suka saya berkongsi beberapa amanat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang berkait rapat dengan norma tugas sebagai penjawat awam. YAB Perdana Menteri berkehendakkan supaya:

 

  1. Penjawat awam harus bijak menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pentadbiran negara;
  2. Penjawat awam mestilah mempunyai keupayaan memelihara integriti dan memberikan nasihat yang betul apabila berlaku sesuatu perkara yang melibatkan konflik kepentingan;
  3. Penjawat awam mestilah bertindak tegas sebagai ‘alarm system’, tidak ada rasa khuatir untuk bercakap benar dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang walaupun diarahkan oleh pihak yang menjadi kerajaan. Ini terutamanya dalam tadbir urus organisasi bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa; dan
  4. Penjawat awam mestilah mempraktikkan amalan budaya kerja cemerlang di segenap organisasi awam dengan sifat-sifat integriti, berkualiti, serta bernilai tambah.
  5. Senada dengan amanat itu, Ketua Setiausaha Negara juga menegaskan bahawa penjawat awam:
  6. Mesti bersikap berkecuali dan dapat membezakan ‘separation of power’;
  7. Meningkatkan keyakinan dan memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan berintegriti kepada masyarakat;
  8. Tidak boleh mempunyai kepentingan peribadi yang boleh menimbulkan ‘conflict of interest’;
  9. Berani dalam memberikan pendapat yang betul dengan cara berhemah;
  10. Mesti bersedia untuk mendepani perkembangan teknologi;
  11. Perlu meningkatkan tahap keberkesanan dan profesionalisme berpandukan kepada peraturan dan undang-undang sedia ada; dan
  12. Segala sumber yang berada di bawah kawalan perlu dimaksimakan sebaik mungkin untuk mengemudi perubahan.

    Dalam konteks ATM, saya berkehendakkan supaya seluruh warga sentiasa menjadikan integriti, akauntabiliti, dan ketelusan sebagai tunjang prakarsa dalam perkhidmatan. Kita wajib menjauhkan diri daripada amalan korup seperti rasuah, salahguna kuasa, dan lain-lain tindakan yang boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada ATM. Selain itu, harus diingat juga bahawa segala teguran dan cadangan yang telah diberikan melalui pelbagai audit yang telah dijalankan perlu diberi perhatian yang serius. Setiap teguran dan cadangan ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dan perlu dilakukan. Sekiranya ini dapat direalisasikan, maka kita pasti dapat menjalankan tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik dengan penuh integriti.

 

4

Turut Hadir, Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia.

 

    Berasaskan kepada amanat daripada YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, maka jelaslah bahawa ATM kini telah diberikan mandat dan kebebasan oleh pihak kerajaan dalam mencorak tadbir urusnya sendiri. Alhamdulillah, kita amat bersyukur dengan perkembangan ini, dan dalam masa yang sama melihat ia sebagai satu amanah yang sangat besar. Autonomi itu bererti ATM bertanggungjawab memikul beban untuk merekayasa angkatan ini, sesuai dengan keperluan dalam mendepani kompleksiti ancaman keselamatan yang semakin rumit dan tidak menentu. Persoalannya kini, adakah kita telah bersedia dalam suasana ‘Malaysia baharu’ bagi memikul amanah tersebut?

 

    Insya allah, dengan tekad ikhlas kita untuk mencurahkan budi luhur kepada ibu pertiwi, persoalan itu akan kita jawab bersama-sama melalui pendekatan progresif, dengan penetapan matlamat yang kekal berfokus serta menyeluruh. Sesuai dengan peranan hakiki, ATM akan kekal sebagai pakar rujuk dalam libat urus hal ehwal pertahanan dan keselamatan negara berdasarkan kepada doktrin, dasar, dan tanggungjawab hierarki kita kepada kerajaan melalui pentadbiran awam, iaitu Kementerian Pertahanan. Di samping itu, sewajibnya elemen kawalan kendiri atau kawal selia dalaman dimantapkan lagi agar segala keputusan dan khidmat nasihat kita tidak dipertikaikan sama sekali.

 

    Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Saya Hormati Sekalian,

 

    Elemen Ketiga: Kekal Relevan Dan Tekal Seiring Masa. Klynveld Peat Marwick Goerdeler atau ‘KPMG International’ iaitu sebuah syarikat perkhidmatan profesional yang juga dikenali sebagai salah satu daripada ‘the big four auditors’ (selain deloitte, ernst & young dan pricewaterhousecoopers -pwc) mendapati bahawa beberapa kuasa utama (major forces) bertanggungjawab mencorakkan lanskap dunia masa kini. Kajian yang dijalankan bersama-sama Mowat Centre, yang berpengkalan di University Of Toronto pada tahun 2013, menggariskan bahawa terdapat sembilan ‘global megatrends’ yang memberikan pengaruh hebat dalam pelaksanaan agenda utama kerajaan dan perkhidmatan awam. Antara yang semakin tampak mengambil tempat dalam senario pentadbiran masa kini ialah ‘enabling technology’. Malahan wacana para pemimpin global dan cendikiawan di Davos World Economic Forum pada tahun 2016 telah mengistilahkan pengaruh teknologi ini sebagai ‘The Fourth Industrial Revolution’ atau IR4.0.

 

    Pada hemat saya, ‘megatrend’ ini sangat signifikan kepada usaha ATM untuk mendepani cabaran dinamika urus tadbir dalam sfera angkatan ini. Persoalannya sekarang, apakah signifikannya kepada ATM? Adakah artikulasi revolusi ini kita kenali atau fahami secara retorik semata-mata? Atau adakah ia kekal sebagai terminologi yang amat ‘asing’? Dalam hal ini, kita tiada pilihan lain; malah perencanaan dan adaptasi pintar perlu diusahakan agar kita berupaya menyerap kesan revolusi ini terhadap kesiapsiagaan ATM.

 

    Dalam mendepani revolusi digital yang menyaksikan perubahan pantas dunia ICT, ATM juga perlu memahami, peka dan mendepani kemunculan ‘sustaining technologies’ dan ‘disruptive technologies’ agar kita boleh memanfaatkannya secara optimum. Ini khususnya dalam usaha kita untuk menyusun dan melihat semula konsep kesiapsiagaan pertahanan secara komprehensif dengan dipacu oleh teknologi, sains data, pengkomputeran awan, integrasi sistem, kecerdasan buatan, dan sebagainya. Dalam hal ini, pendekatan yang didapati tidak lagi relevan perlu dirombak demi mewujudkan persekitaran organisasi berpengetahuan (information superiority) melalui pewujudan kerangka ict dan pengaplikasian Network Centric Operation (NCO) yang berupaya memperkukuhkan elemen ‘joint’ yang kita rancangkan (kini di fasa 1b).

 

    Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekalian,

 

    Revolusi industri ini juga secara jelas telah membuka domain baru kepada ATM termasuk domain siber elektromagnetik dan angkasa (cyber electromagnetic and space), yang beberapa tahun lalu, berada di luar jangkauan kita. Menyedari kepentingannya, konsep peperangan siber elektromagnetik yang merupakan peperangan dimensi ke-empat ini turut dirangka di dalam pelan pembangunan strategik 4th Dimension Malaysian Armed Forces (4D-MAF). Pelbagai manfaat akan diperolehi ATM melalui penguasaan di dalam domain siber elektromagnetik ini yang membenarkan akses kepada sistem komunikasi merangkumi segenap ruang darat, laut dan udara, sekaligus memberi kelebihan (superior advantage) kepada kuasa tempur ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

 

6

Panglima Angkatan Tentera menyerahkan Takwim 2019 kepada Panglima Tentera Darat.

 

    Pada hemat saya, dalam aspek peperangan dimensi ke-empat ini, kita tidak boleh hanya sekadar menjadi pengguna kepada teknologi siber elektromagnetik, sebaliknya perlu memanfaat teknologi tersebut secara optimum. Ke arah itu, ATM pada hari ini memberi penekanan kepada faktor manusia yang merupakan elemen utama di dalam trilogi manusia (man), mesin (machine) dan cara (method). Apa yang perlu dilaksanakan adalah menggandakan dan memperkasakan daya pemikiran intelektual (cognitive capacity) seluruh warga agar dapat menguasai dimensi ini secara menyeluruh. Justeru, dimensi siber elektromagnetik perlu ada di dalam pemikiran warga ATM; kita harus mampu mengadaptasi serta hidup di dalam dimensi tersebut; sekaligus memerlukan ATM untuk memprofil semula warganya. Dalam konteks yang sama, ATM perlu merancang perolehan sejumlah pakar (experts) dan ‘specialist’ dalam bidang-bidang khusus di kalangan warga angkatan. Kepakaran mereka ini amat diperlukan untuk memastikan ATM terus kredibel, profesional dan relevan.

 

    Sememangnya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki khasnya dari aspek kesiagaan aset seperti yang disebutkan oleh YB Menteri Pertahahan dan ini bergantung kepada kemampuan kewangan dan keadaan ekonomi negara. Kita telah menyediakan pelan pembangunan keupayaan seperti yang tercatat di dalam 4D-MAF dan kini 4D-MAF version ii 2016, serta pelan-pelan pembangunan oleh setiap perkhidmatan ATM. Insya allah, bersama-sama kerajaan dan andainya keadaan kewangan negara bertambah baik, segalanya akan dapat dicapai seperti yang dirancangkan.

 

8

Panglima Angkatan Tentera menyerahkan Takwim 2019 kepada Panglima Tentera Laut.

 

    Para Perwira Dan Bintara Yang Saya Hormati,

 

    Dalam hal yang berkaitan, sukacita dimaklumkan bahawa kementerian Pertahanan dan ATM sedang membangunkan kertas putih pertahanan atau defence white paper, bertujuan untuk menjadi satu dokumen pernyataan niat yang mampu menggariskan arah tuju pertahanan dan keselamatan negara. Istimewanya kertas putih ini, penyediaannya turut mengambilkira pendapat pelbagai pihak berkepentingan termasuk bahagian dasar kerajaan, veteran, industri pertahanan, akademia dan rakyat Malaysia. Ia juga bertujuan mendokong hasrat kerajaan untuk menyemai tadbir urus yang lebih baik melalui prinsip keterbukaan, ketelusan, inklusif dan progresif. Kertas putih pertahanan ini juga akan menetapkan hala tuju pembangunan ATM dalam pelbagai sudut, sekaligus menjadikannya lebih kredibel dan versatil. Kertas putih ini akan menekankan beberapa elemen penting seperti berikut:

   

1. Polisi pertahanan yang realistik;

2. Doktrin perang ATM (how to fight);

3. Struktur pembangunan dan perolehan peralatan/aset ATM;

4. Mobilisasi nasional dan polisi latihan sukarela;

5. Iktibar daripada isu-isu perolehan/pembelian pada masa yang lalu;

6. Penglibatan dan kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain;

7. Kajian semula terhadap konsep hanruh;

8. Memperolehi postur atau penampilan cegah rintang yang efektif.

 

    Para Perwira Dan Bintara Yang Saya Kasihi Sekalian,

 

    Elemen Keempat: Angkatan Eksklusif Tetapi Inklusif. Izinkan saya memetik titah diraja oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin pada 24 November 2011, iaitu:

    “Bahawa angkatan tentera itu adalah satu keperluan, satu kemestian yang tidak boleh ditiadakan. Ia bukan sekadar keperluan yang tercetus dari logika pemikiran insan, ia merupakan satu kewajipan – satu tuntutan – satu fardu kifayah”.

 

    Atas kata-kata itu, saya tegaskan bahawa landskap keselamatan pada hari ini memperlihatkan kekaburan tanggungjawab (blurring of lines) antara keselamatan dalam negara (security) dan pertahanan (defence). Sementara persepsi ancaman tradisional antara negara masih wujud, kita juga turut dibelenggu dengan ancaman bukan tradisonal seperti jenayah rentas sempadan, keganasan (terrorism), perlanunan dan kegiatan militan serta bencana alam. Tidak dapat tidak, ATM wajib memainkan peranannya dalam kesemua aspek keselamatan ini. Justeru, konsep pertahanan menyeluruh perlu diperkukuhkan di antara ATM dengan agensi-agensi keselamatan yang lain, di samping penglibatan pihak industri; khasnya industri pertahanan untuk memerangi ancaman keselamatan ini.

 

    Paradoksnya di sini, “kita eksklusif tetapi inklusif” (we are exclusive yet inclusive). Dalam hal yang sama, kerjasama rakyat juga diperlukan dalam memahami akan peranan ATM sebagai benteng utama pertahanan negara. Rakyat seharusnya menyedari bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan bumi tercinta ini. Kesedaran ini harus subur di jiwa setiap rakyat Malaysia, agar kita tidak mudah diperalat atau menjadi dalang kepada perosak agama, bangsa dan negara. Dalam hal ini, konsep pertahanan menyeluruh (hanruh) perlu disegarkan semula, lebih-lebih lagi kepada golongan generasi muda.

 

    ‘ATM dan rakyat berpisah tiada’ bukanlah suatu ungkapan retorik semata-mata. Ia sering kita laungkan dan kita zahirkan dengan pelbagai tindakan. Ketika negara dilanda bencana dan fenomena alam, tanpa jera kita menghulurkan bantuan seikhlasnya. Kita juga sebagai insan biasa memiliki naluri kemanusiaan sama seperti mereka. Kita juga ada keluarga, sebagai bapa, ibu dan anak dan pastinya kita juga mendambakan keamanan dan kesejahteraan negara ini kekal selamanya. Namun uniknya, kita adalah barisan hadapan yang sedia berbakti untuk memastikan daulat pertiwi ini akan terus dinikmati oleh generasi pewaris kita.

 

9

Panglima Angkatan Tentera menyerahkan Takwim 2019 kepada Panglima Tentera Udara.

 

    Rakan Seperjuangan Sekalian,

 

    Elemen Kelima: Kebajikan. Aspek kebajikan warga tentera sememangnya menjadi keutamaan ATM kerana ia adalah faktor moral yang dapat memberikan impak positif terhadap komitmen oleh setiap individu dalam menjalankan tugas mempertahankan negara tercinta. Dalam aspek ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan ATM telah dan sedang menyediakan pelbagai inisiatif serta kemudahan bukan sahaja kepada warga ATM dan keluarga mereka; malah kepada para veteran yang telah banyak menyumbang bakti kepada kelangsungan kedaulatan negara kita.

    Sebagai makluman para hadirin sekalian, Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa mengkaji dan melaksanakan dasar dengan mengambil kira kesejahteraan warga serta melihat aspek kebajikan secara menyeluruh. Saya yakin bahawa inisiatif - inisatif kebajikan yang berorientasikan kesejahteraan warga ATM ini akan dapat dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan; walaupun terdapat pelbagai kekangan terutamanya dari segi sumber peruntukan; namun, saya yakin bahawa kita akan dapat mengatasi kesemua cabaran ini secara berkala. Dalam hal yang sama, kita juga amat berterima kasih kepada pihak Kementerian Pertahanan yang sedang mengambil berat tentang kebajikan warga ATM dan veteran pada masa kini. Semoga segala usaha yang dirancang dapat direalisasikan dalam masa terdekat, insya allah.

 

10

Panglima Angkatan Tentera bergambar bersama Panglima-Panglima Perkhidmatan, di Majlis Amanat PAT Tahun 2019.

 

    Elemen Keenam (Dan Akhir Sekali): Pengukuhan Diplomasi Ketenteraan.

   

    Tidak ada sebuah negara berdiri sendiri sebagai sebuah ‘pulau’, sebaliknya perlu ada jaringan perhubungan dan ATM juga tidak terkecuali. Dalam usaha meningkatkan keselamatan dan memperketatkan pertahanan wilayah negara, ATM secara aktif akan terus mendokong pendekatan diplomasi ketenteraan ini. Arah tuju ATM dalam elemen ini amat berkait dengan dasar luar kerajaan. ATM adalah satu elemen utama kepada pendekatan ‘an extension of policy’, dan akan terus menggunakan garis panduan dan dasar luar kerajaan dalam mengukuh hubungan bilateral dan multilateral.

 

    Kita juga berharap perhubungan yang diterjemahkan sebagai diplomasi ketenteraan ini akan dapat meningkatkan serta menerapkan keterampilan, kemahiran, keyakinan dan ‘interoperability’ dengan negara-negara terbabit. Bagi tujuan ini, beberapa inisiatif termasuk trilateral cooperative arrangement (tca) dan malacca straits patrol (msp) antara beberapa negara ahli telah dan sedang dilaksanakan. Ia melibatkan rondaan maritim, rondaan udara, intelligence exchange dan beberapa inisiatif lain; bertujuan untuk mengeratkan dan mengukuhkan aspek ‘interoperability’ antara negara-negara rantau ini. Pada tahun 2019, kita akan melaksanakan hampir 60 latihan bilateral dan multilateral. Kini tiba masanya segala latihan dan eksesais yang dilaksanakan, pengajaran yang diperolehi, doktrin yang dibangunkan dan standard operating procedure (sop) yang disepakati, diaplikasikan sepenuhnya. Namun ada kemungkinan apa yang dilakukan ada kekurangan dan masih tidak lengkap. Justeru, saya menyeru agar segala ruang dan peluang yang ada tatkala kita membuat latihan, eksesais, engagement dan lain-lain aktiviti digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan keupayaan dan kesiagaan kita.